Nota Kecil |
Sunnah Nabi, al-Qardhawi & Irsyad Manji Posted: 21 May 2012 03:20 AM PDT JiKA Irsyad Manji hidup pada zaman Rasulullah s.a.w, wanita itu mungkin diramahi secara wacana atau debat rasional oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Ini kerana, Rasulullah s.a.w pernah berdebat dengan 13 Ahli Kitab dari Najran yang mempertikai kerasulannya suatu ketika dahulu. Rasulullah s.a.w berkata, Nabi Adam a.s lebih hebat kerana tidak mempunyai ibu bapa sekiranya Ahli-ahli Kitab berkenaan masih nekad menganggap Isa 'Anak Tuhan' atas alasan Isa hanya mempunyai ibu. Kata Rasulullah s.a.w, Nabi Musa a.s lebih hebat kerana dapat menghidupkan tongkatnya menjadi ular besar lalu memakan ular-ular Ahli Sihir Firaun sekiranya Ahli-ahli Kitab berkenaan menganggap Isa 'Anak Tuhan' atas alasan Isa boleh menghidupkan orang mati. Al-'Akib yang lebih dikenali sebagai Abdul Masih serta Ahli-ahli Kitab yang lain menolak kebenaran sebagai yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dengan aksi bantah-membantah sehingga turunlah ayat 61 dari Surah Ali Iimran. "Kemudian, sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad s.a.w) mengenainya sesudah kamu mendapat pengetahuan yang besar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah bersama-sama kita menyeru anak-anak kami dan anak-anak kamu dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu dan (hatta) diri kami dan diri kamu; kemudian kita memohon kepada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta lakna (daripada) Allah kepada orang-orang yang berdusta." (Surah Ali Iimran: 61) (lihat Tafsir Ibn Kathir: 2/50) Dari kisah ini, mengapa Rasulullah s.a.w pergi berdebat dengan Ahli Kitab berkenaan sungguhpun agama mereka nyata sesat di sisi Islam? Mengapa Rasululullah s.a.w yang juga pemerintah tertinggi negara moden Madinah tidak menggunakan pendekatan undang-undang terhadap dakyah 13 Najran berkenaan? Sekiranya Rasulullah s.a.w mengambil pendekatan undang-undang hatta memerangi delegasi Ahli Kitab dari Najran itu, dunia hari ini mungkin akan mempertikai keadilan yang diperjuangkan oleh Islam hatta kredibiliti Rasulullah s.a.w sendiri. Islam mungkin dianggap sebagai agama yang tidak menghormati kebebasan bersuara. Islam mungkin juga dianggap sebagai agama yang zalim kerana melakukan pemaksaan kepercayaan sesama manusia. Firman Allah yang bermaksud, "tiada paksaan dalam beragama." (Surah al-Baqarah: 256) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Maka sesungguhnya bagi orang yang ada hak, maka hendaklah diberikan hak dia bersuara." (al-Bukhari: 2141) Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud, "Berikan setiap yang mempunyai hak akan haknya." (Al-Bukhari: 5674) Di sebalik sunnah Rasulullah s.a.w meramahi 13 Ahli Kitab Najran secara wacana dan debat itu, tersembunyi hikmah Ilahi, iaitu imej Islam dan peribadi Rasulullah s.a.w dipelihara dari fitnah akhir zaman seperti tidak menghormati hak asasi manusia, tidak menghormati kebebasan bersuara hatta tidak menghormati demokrasi rakyat sendiri. Kerajaan Perancis baru-baru ini mendapat imej yang buruk gara-gara menghalang Pengerusi Majmak Fiqh Al-Islami Sedunia, Prof Dr Yusof bin Abdullah al-Qardhawi dari menghadiri satu persidangan Islam anjuran Union for French Islamic Organizations (UOIF) di negara berkenaan. Dunia termasuk ummat Islam di negara ini mempertikai kenyataan tidak demokratik Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dalam satu wawancara radio tempatan, France Radio Info pada 26 April lepas. "Saya telah menjelaskan keputusan bahawa ada peribadi tertentu yang telah diundang ke kongres ini yang tidak diterima di tanah air Perancis. "Saya memberikan indikasi kepada Emir Qatar sendiri bahwa orang ini tidak diterima di wilayah Republik Perancis. "Dia tidak akan datang," tegas Nicolas Sarkozy. Eropah serta umat Islam (termasuk di Malaysia) semasa itu rata-ratanya menganggap Perancis tidak adil serta tidak demokratik apabila menyekat pandangan-pandangan sederhana daripada al-Qardhawi. Mengapa rakyat khususnya umat Islam di negara ini tidak boleh meruangkan kebebasan bersuara ke atas Irsyad Manji sebagaimana yang yang dituntut dari Kerajaan Perancis ke atas al-Qardhawi? Sesungguhnya, wacana dan debat adalah sunnah Rasulullah s.a.w bagi mengatasi kekeliruan beragama yang dicetuskan oleh pihak tertentu. Wacana dan perdebatan fikrah hakikatnya bukan perkara baru di tanah air ini. Sejak 'Thunami Politik' Mac 2008, dua Ahli Parlimen PAS, iaitu Khalid Samad (Shah Alam) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) sering kali dilihat ke gereja hatta forum-forum terbuka yang membincangkan soal liberalisasi agama. Sepatutnya, cabaran liberalisasi beragama melalui pentas wacana, forum serta debat sebegini lebih afdhal disambut oleh kaum mufti, ulama, agamawan, ustaz-uztazah hatta cendekiawan Islam kampus. Tetapi, semua ini seakan tidak berlaku sungguhpun wacana, forum hatta debat sebegini adalah sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diperjelas sebelum ini. Menyekat Irsyad Manji menggunakan kedudukan politik pemerintah hatta menggunakan undang-undang sungguhpun bertitik-tolak atas niat yang murni, iaitu mahu menjaga kesucian Islam. Namun, perbuatan sebegitu akan menyerlahkan imej serong terhadap Islam di kalangan rakyat, khususnya bukan Islam. Islam akan dilihat sebagai agama yang tidak bebas, tidak mesra manusiawi serta tidak demokratik sedangkan hakikat sebenar yang diserlahkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w tidak sebegitu. Implisitnya, manusia akan dijauhkan dari melihat keindahan Islam yang hakiki. Untuk mendekatkan manusia kepada Islam, program keilmuan seperti forum atau wacana atau debat dengan Irsyad Manji perlu diadakan secara ilmiah dan rasional. Hujjah lawannya, hujah. Perlu ada karya dari pihak berwajib untuk meramahi karya Irsyad Manji yang berjudul "Kebebasan, Tuhan, Cinta". Tak wajar hujah lawannya langkah penguatkuasaan undang-undang. Tak wajar wacana lawannya pertikaman mulut hatta demontrasi agresif. Itu semua akan memperlihatkan imej negatif pada Islam dan penganutnya. Allah sendiri menyuruh para hamba-Nya yang beriman untuk medepani cabaran beragama secara adil, bijaksana dan profesional. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Seranglah mereka (musuh-musuh Islam) sebagaimana mereka menyerang kamu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah: 194) Kalau berasa Dr Mujahid dan Khalid tidak setara dengan Irsyad Manji, pihak berwajib boleh jemput Dr Zakir Naik (anak murid Ahmad Deedat), Dr Tariq Ramadhan atau seangkatannya untuk mempertahankan kesucian Islam dari dikelirukan oleh mana-mana pihak. Bagi mendepani liberalisasi fikrah oleh Irsyad Manji, kebebasan bersuara dan berfikir yang lebih bertangjawab perlu hadir dari kalangan Mufti, Ulama, Ustaz-Ustazah hatta Cendekiawan Islam Kampus. Kita tidak menjunjung kebebasan bersuara secara mutlak, tetapi kebebasan yang diikat dengan tanggungjawab. Jika Irsyad Manji dianggap meluahkan kebebasan bersuara secara tidak bertanggungjawab kerana tidak menyampaikan fikrah Islam yang sebenar, kita perlu bertanggungjawab untuk mendepani beliau secara wacana dan debat. Setuju? |
You are subscribed to email updates from Nota Kecil To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment