Pahang Daily Online |
Panas: Bekas "Pengarah" Pelajaran Negeri Pahang Mungkin Bakal Jadi Calon BN Pada PRU Ke-13 Ini ! Posted: 29 Oct 2012 03:17 PM PDT MARAN, 30 Okt - Bekas Pengarah Pelajaran Negeri Pahang, Datuk Yahya Zainal Abidin (foto) kini diwar-warkan bakal menggantikan tempat Allahyarham Dato' Tan Mohd Aminuddin Ishak untuk bertanding sebagai calon UMNO Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor dalam Parlimen Maran pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini. Yahya, baru saja menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) bergelar "Datuk" sempena ulang tahun ke-82 Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah baru-baru ini dikatakan calon popular "winable candidate" yang bakal diketengahkan oleh UMNO kali ini. Beliau yang baru sahaja menamatkan perkhidmatannya dari Kementerian Pelajaran, kini dikatakan sedang bercuti sebelum memulakan langkah untuk menceburi bidang politik. Nama Yahya dikatakan paling panas memandangkan beliau dilihat mampu memastikan BN terus menang di kerusi DUN terbabit berbanding dengan calon-calon lain yang lebih senior darinya. Difahamkan juga, sebelum mengakhiri perkhidmatannya beliau turut mengadakan beberapa pertemuan sulit dengan Guru Besar dan Pengetua sekolah-sekolah seluruh Pahang di Kuantan bagi memberi gambaran yang beberapa nama popular akan dipilih untuk bertanding sebagai calon BN pada PRU-13 termasuk beliau. UMNO kini terpaksa menggunakan pegawai kerajaan termasuk guru sebagai calon bagi menarik undi simpati. Ini kerana jawatan guru amat disegani dan disanjungi oleh masyarakat terutamanya orang Felda dan kampung-kampung Melayu. Maka itu, anda golongan terbabit dipilih sebagai calon maka sudah pasti ia dapat menarik kembali undi mereka yang banyak hilang pada PRU-12 lalu. Selain dari nama Yahya, terdapat beberapa nama lagi bekas guru dan pegawai kerajaan yang bakal diketengahkan sebenarnya. Bagi masyarakat sekitar DUN Chenor dan Parlimen Maran, nama Yahya memang sudah tidak asing lagi kepada sebahagian besar dari kalangan mereka. Ini kerana Yahya juga merupakan anak jati Kg.Paya Pasir yang terletak dalam DUN Chenor itu sendiri. Malah, beliau telah berkhidmat sebagai guru dibeberapa buah sekolah sekitar daerah Maran sebelum dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah dan kemudiannya Pengarah Pelajaran. Kerusi DUN Chenor kosong selepas Dato' Tan Aminuddin meninggal dunia pada 19 Jun lalu. Sepatutnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit namun dek kerana tempohnya yang terlalu hampir dengan Pilihan Raya Umum maka itu ia tidak dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. [Pada PRU-12 lalu Dato' Tan Aminuddin menang ke atas calon PAS, Ustaz Mujibur Rahman Ishak dengan majoriti undi sebanyak 2,468 undi. Beliau mendapat 6,170 undi manakala calon PAS itu hanya mendapat 3,702 undi. Kemenangan itu adalah penggal yang kelima bagi Allahyarham Dato' Tan Aminuddin sebenarnya. Persoalannya sekarang apakah undi di dua kubu kuat BN iaitu Felda Jengka 7 dan Jengka 6 masih lagi menjadi aset mereka kali ini. Difahamkan, masalah bekalan air yang sering melanda kawasan itu sejak 40 tahun lalu kini menjadi isu besar yang perlu ditangani oleh BN kali ini. Malah, ramai juga anak muda yang kecewa dengan janji pemberian tanah kelompok yang sekadar tinggal janji, serta beberapa projek pertanian dan penternakan yang "indah khabar dari rupa" seperti projek tanaman jagung, keledek, roselle dan lembu pawah yang hanya tinggal namanya sahaja. Sebaliknya, yang untung ialah pemimpin UMNO yang mengeluarkan hutan balak di kawasan terbabit tetapi projek entah ke mana. Kini, isu-isu berkenaan bakal menjerat UMNO BN dengan slogan "janji ditepati" yang langsung tidak menjadi kenyataan sebenarnya. Apapun, nantikan laporan seterusnya perkembangan isu ini nanti]. |
Panas: MB Pahang 'Nafi Cuba Perlekeh' Orang Asli Tetapi Terjadi Kerana 'Provokasi' Penyokong PKR ! Posted: 29 Oct 2012 03:07 PM PDT KUANTAN, 30 Okt - Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) hari ini menafikan beliau cuba memperlekeh dan menghina masyarakat orang asli yang berdemo dan menyerahkan memorandum kepada beliau baru-baru ini. Sekumpulan masyarakat orang asli dikatakan telah berhimpun di hadapan Pejabat Menteri Besar di Wisma Sri Pahang dekat sini pada 18 Oktober lalu. Ketika mereka berhimpun Adnan dikatakan telah dengan berani turun sendiri ditengah kumpulan orang asli terbabit untuk berbincang dan mententeramkan mereka. Namun, mungkin dek kerana berbagai provokasi dan kata-kata "panas" yang dikeluarkan oleh beberapa orang asli termasuk sekumpulan penyokong pembangkang yang diketuai oleh Kamarul Hatta Ali (foto bawah) dari Soladirati Anak Muda Malaysia (SAMM) menyebabkan kata-kata diluar kawalan terkeluar dari mulut MB Pahang itu. Susulan kejadian itu, maka bermacam-macam komen kontroversi telah disiarkan oleh kebanyakkan blog pro-pembangkang termasuk rakaman videonya sekali. Malah, keesokkan harinya ramai pihak yang menggesa Adnan menarik balik beberapa perkataan yang dikatakan telah menghina masyarakat orang asli. Timbalan Ketua Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid dalam satu kenyataan medianya berkata, di sangat kesal dan kecewa serta mengecam tingkah laku Adnan dan mahu beliau menuntut maaf daripada orang asli terbabit. Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Pahang, Razali Alias pula berkata parti itu amat kesal jika ia benar-benar terjadi, tapi akan menjalankan siasatan terperinci kes tersebut. Menurut Razali lagi, beliau tidak percaya kenyataan yang dibuat oleh MB Pahang itu. Tambahan pula dengan jawatan MB, mana mungkin Adnan tergamak berbuat demikian kepada orang awam yang datang ke pejabatnya. Razali turut menegaskan, siasatan lanjut akan dibuat terhadap insiden berkenaan jika ada laporan dibuat oleh pihak berkenaan katanya. Setakat ini, difahamkan tiada laporan polis telah dibuat. Sementara itu, dalam satu kenyataan lain Menteri Besar Pahang itu berkata orang asli puas hati dapat berjumpa beliau pada hari itu. "Mereka berbincang dengan baik dengan saya. Mereka tunggu sampai habis dan bergambar dengan saya. Mereka akan datang beramai-ramai untuk menghadiri majlis jamuan yang akan saya adakan selepas Hari Keputeraan Sultan Pahang", kata Adnan. Beliau turut menegaskan beberapa orang ahli PKR dan DAP termasuk beberapa orang peguam balik dengan "hampa" apabila melihat orang asli sudi makan dan minum bersama beliau. "Hasutan pembangkang gagal.... sekarang mereka cuba spin dengan memetik rekod secara potong-potongan untuk propaganda mereka", katanya. Menurut Adnan, beliau juga telah berjanji dengan wakil orang asli bahawa mana-mana tuntutan yang munasabah akan diselesaikan oleh kerajaan manakala yang tidak munasabah tidak dapat dipenuhi. "Kerajaan akan bela nasib mereka, hidup orang asli.. hidup BN", katanya lagi. [Ada dua pengajaran penting yang boleh diambil dalam insiden sebegini. Satunya, kepada mana-mana pemimpin mereka haruslah bersabar atas segala kerenah dan provokasi yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Tidak perlu merasa marah dan melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej serta kreadibiliti masing-masing. Jalan terbaik, pemimpin harus menunaikan segala janji-janji mereka kepada rakyat. Tidak perlu memberi berbagai alasan demi alasan, sedangkan rakyat terus menanggung derita akibat masalah yang semakin bertimpa-timpa. Keduanya, mana-mana pemimpin atau penyokong pembangkang tidak perlu terlalu kehadapan dalam isu yang melibatkan pihak lain. Tambahan pula bila membawa sepanduk-sepanduk yang bertujuan untuk publisiti semata-mata. Lebih baik biarkan pihak yang berkenaan ke hadapan kerana kelak ia menimbulkan kontroversi. Apapun, "suara rakyat suara keramat" maka dengarlah rintihan serta jangan sesekali cuba memperlekehkan mereka!]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment