Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Kewujudan Bas 'RapidKuantan' Di Harap Menjadi Pemangkin Ekonomi Para Penduduk Di Bandar Ini

Posted: 22 Oct 2012 11:43 AM PDT


KUANTAN, 23 Okt - Warga Kuantan kini boleh menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi menghabiskan banyak wang untuk menggunakan perkhidmatan teksi dan kereta sewa untuk berulang alik dari tempat kerja ke rumah masing-masing selama ini. Ia berikutan perkhidmatan bas bandar "town service" yang sekian lama dinantikan akhirnya menjadi kenyataan dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 yang dibentangkan di parlimen baru-baru ini. Pengumuman Najib berkenaan operas bas RapidKuantan yang akan bermula pada Disember ini merupakan sesuatu yang amat ditunggu oleh rakyat di bandar ini. Jika sebelum ini mereka terpaksa menghabiskan banyak wang untuk menggunakan perkhidmatan teksi dan kereta sewa, kini masalah tersebut bakal selesai dengan keputusan kerajaan ini. Dalam satu kenyataan sebelum ini Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) berkata kewujudan RapidKuantan itu membolehkan orang ramai bakal memperolehi perkhidmatan yang lebih efisien serta kerap dengan laluan operasi lebih luas berbanding ditawarkan sekarang. Difahamkan, projek tersebut melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan laluan antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) hingga ke bandar Kuantan yang dijangka bermula Disember ini dengan kekerapan bas antara 15 hingga 30 minit. Sebelum ini, cadangan perkhidmatan  hanya sampai di Kem Batu 10 sahaja, namun kali ini disambung sehingga sampai ke kampus IPTA terbabit di Gambang.  Ia bagi memudahkan para mahasiswa  ke bandar ini dengan lebih mudah dan selesa.  Tambah beliau, fasa kedua dijangka bermula sebaik sahaja operasi bagi fasa pertama berjalan lancar dengan melibatkan laluan lain di seluruh daerah ini. Beliau turut menegaskan tiga puluh dua bas RapidKuantan dengan 66 pemandu akan memulakan operasi di tiga laluan sekitar bandar ini. Kewujudan perkhidmatan RapidKuantan dengan kerjasama Syarikat Prasaran Negara Berhad (Prasarana) itu dapat mengatasi masalah pengangkutan awam yang dihadapi oleh warga Kuantan sejak sekian lama. Sementara itu fasa pertama projek ini melibatkan tiga laluan iaitu dari Gambang ke Terminal Makmur, laluan dua (Bandar Indera Mahkota ke Teluk Cempedak) dan laluan tiga (Kompleks Mahkamah ke Politeknik Sultan Ahmad Shah di Semambu).  RapidKuantan juga mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan dengan kadar kekerapan 15 minit pada waktu puncak untuk ketiga-tiga laluan bas yang berkenaan.
[Biar apapun yang akan diperkatakan oleh parti pembangkang, namun secara amnya kewujudan bas Rapid Kuantan ini sebenarnya lebih melegakan warga Kuantan. Malah, ia juga akan digunakan oleh penyokong pembangkang dalam urusan seharian mereka. Oleh itu, usahlah isu ini dipolitikkan sehingga boleh menjejaskan operasinya kelak. Mana yang baik untuk rakyat maka kita harus menerima dengan hati yang terbuka. Persoalannya sekarang, kena baru saat ini projek berkenaan diluluskan sedangkan selama ini sudah beberapa kali isu berkenaan didedahkan malah dibawa ke parlimen oleh Wakil Rakyat kawasan berkenaan (YB Fuziah Salleh). Malah, ada yang menuding jari mengatakan projek itu tidak akan bertahan lama kerana banyak  kepincangan yang telah dikenal pasti oleh pihak berkenaan buat masa ini. Cuma, apa yang memusykilkan rakyat ialah ke mana pergi pemimpin setempat selama ini?. Apakah mereka tidak sedar apa yang berlaku atau sengaja menyembunyikan fakta kebenaran untuk menjaga periuk nasi masing-masing. Walau bagaimana cara sekali pun, kewujudan semua bas seperti ini diharap dapat menjadi pemangkin ekonomi para penduduk setempat serta rakyat di bandar ini hendaknya].

No comments:

Post a Comment