Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Kes 'Karpal Hina Sultan Perak', Mahkamah Tolak Permohonan 'Kamaluddin Said' Ketepikan Sepina

Posted: 20 Oct 2012 07:34 AM PDT


KUALA LUMPUR, 20 Okt - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara Datuk Kamaluddin Md Said (foto), untuk mengetepikan sepina agar beliau menjadi saksi pembelaan dalam perbicaraan kes hasutan Pengerusi DAP Karpal Singh. Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak hujah Peguam Kanan Persekutuan Abazafree Mohd Abbas bahawa Kamaluddin bukan saksi relevan untuk kes pembelaan. "Hujahannya bahawa saksi ini tidak dapat memberi keterangan yang berkaitan dengan pembelaan tertuduh adalah satu spekulasi pramatang untuk mahkamah ini membuat rumusan pada peringkat ini. "Mahkamah perlu memberi peluang kepada tertuduh memanggil mana-mana saksi yang relevan dan berkemungkinan dapat membantunya semasa membela diri," katanya. Azman juga berkata semasa perbicaraan, Karpal Singh merujuk satu keratan akhbar yang memetik Kamaluddin sebagai berhujah di mahkamah bahawa Sultan Perak patut dijadikan pihak dalam kes berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perak. "Oleh itu, jika saksi ini mempunyai jawapan, atau alasan, atau penafian, beliau boleh menjawabnya nanti atas kapasiti sebagai saksi," katanya. Dengan keputusan itu, Karpal Singh akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama pada 2 November depan, diikuti Kamaluddin. Pada 30 Ogos lepas, Azman menolak permohonan Karpal Singh agar sepina dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. Pada prosiding hari ini, hakim itu berkata mahkamah menolak permohonan tertuduh untuk memanggil Dr Mahathir, Abu Talib dan Abdul Gani sebagai saksi kerana tidak relevan dan keterangan mereka tidak berkaitan dengan intipati pertuduhan yang dihadapi Karpal Singh. Peguam itu didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009. Karpal Singh, 72, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Penyokong Bola Sepak Kelantan Mati Kemalangan

Posted: 20 Oct 2012 07:02 AM PDT


KUANTAN, 20 Okt -  Seorang penyokong bola sepak Kelantan maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi terbabas ketika cuba memotong kenderaan lain di Kilometer 328 Jalan Raub-Kuala Lipis dekat Raub, pagi tadi. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pukul 9 pagi itu mangsa, Muhamad Saiful Daud, 19, dari Kampung Manek Urai Lama, Kelantan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. "Mangsa dan rakannya dikatakan sedang dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia Kelantan bertemu ATM, malam ini," katanya di sini. Rakan mangsa berusia 20-an yang mengalamai cedera parah dirawat di Hospital Raub (HR), katanya. Menurut Mohamed Fauzi, pihak polis telah memaklumkan keluarga mangsa mengenai kejadian itu. Mayat mangsa dihantar ke HR untuk di bedah siasat.

No comments:

Post a Comment