Nota Kecil

Nota Kecil


Rahsia 'Pion' bina kerjaya dalam MPPP

Posted: 10 Sep 2012 04:16 AM PDT

ABU menerima maklum balas daripada staf sokongan bernama Rajendran mengenai cadangan projek naik taraf gerai makan Anjung Gurney, George Town.

SELEPAS ayahnya pencen pada awal 1970-an, anak kelahiran Pulau Pinang ini diambil bekerja sebagai "pion" oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Itulah antara polisi pihak berkuasa tempatan (PBT) pada ketika itu untuk mengekalkan warga bandaran dalam bandar George Town.

Berkat doa ayah dan motivasi bekas bos di Jabatan Korporat MPPP, Abu Hassan Mohamed Zain, 51, kini boleh menarik nafas lega dengan kejayaan yang dikecapi.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan (Bahagian Pelesenan) MPPP itu baru-baru ini disenarai lagi sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 daripada Kerajaan Negeri.

Dalam wawancara bersama faqar, Abu berkata, beliau pernah menerima anugerah serupa pada tahun 1993, 1997 dan 2008.

Malah, Abu berkata, beliau pernah menerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) sempena Hari Lahir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada tahun 2011.

"Selepas bapa saya berhenti kerja sebagai buruh di MPPP pada tahun 1978, saya diambil bekerja berdasarkan polisi majlis semasa itu (iaitu) anak diberi keutamaan apabila bapa berhenti (pencen).

"Lebih kurang 35 tahun saya berkhidmat Majlis. Saya memang nak bekerja dan cari rezeki yang halal. Alhamdulillah, semua anak saya jadi hafiz al-Quran dan ada yang belajar sampai ke universiti luar, di Madinah dan Mesir.

"Satu lagi prinsip saya (ialah) tak suka tangguh masa. Prinsip yang sama saya terapkan kepada lebih kurang 80 pekerja di bawah seliaan saya bagi mengurus hal ehwal pelesenan dalam majlis.

"Mungkin semua itu diukur oleh Kerajaan Negeri dan MPPP sehingga memilih saya saya untuk menerima pingat dan semua anugerah itu," ujar beliau.

Untuk sampai ke tahap ini, Abu berkata, beliau pernah mengambil kelas malam semata-mata untuk mendapatkan Sijil Rendah Peperiksaan (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)·

"Saya dari keluarga susah. Saya belajar setakat darjah enam sebab nak bantu keluar sara enam beradik lain.

"Masa jadi 'pion', siang kerja dan malam ambil kelas. Alhamdulillah, saya dapat SRP (setaraf dengan PMR) dan dapat SPM pada pertengahan tahun 1980-an.

"Selepas itu, saya dipilih untuk Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) untuk lanjutkan pelajaran peringkat diploma di Institut Kesihatan Umum di bawah Kementerian Kesihatan dekat Kuala Lumpur kerana saya bekerja di majlis. 

"Dari situ, saya diberi tanggungjawab, cuba buat terbaik untuk majikan sehingga ke tahap sekarang," ujar beliau.

CABARAN BEKERJA
Abu berkata, kerja menguat kuasa ke atas penjaja tanpa lesen umpamanya bukanlah kerja yang mudah.

Kerja berkaitan aktiviti pelesenan tersebut memerlukan profesionalisme, selain pengalaman untuk berdepan dengan kaum penjaja yang pelbagai ragam.

Contoh terdekat, katanya, insiden sekumpulan 35 penjaja kecil tanpa lesen dari Padang Kota menyerbu pemimpin ketegasan Negeri tertentu dalam satu majlis baru-baru ini.

"MPPP sejak dua tahun lalu sebenarnya berjaya memberi lesen dan memindahkan generasi pertama penjaja tanpa lesen dari Padang Kota ke Kompleks Penjaja Medan Renung dekat Padang Kota.

"Lebih kurang 35 penjaja ini tak berlesen dan mereka ratanya bukan penjaja asal (generasi pertama).

"Selepas notis dan kompaun dikeluarkan, kita pun pacak penguatkuasa kita supaya mereka terbabit tak berniaga di kawasan larangan.

"Kalau kita nak rampas barang jaja mereka, kita tidak pacak penguatkuasa di situ. Semua langkah penguatkuasa ini dilakukan selepas kita menerima aduan daripada penjaja berlesen di Padang Kota sendiri," ujar beliau.

Lebih malang, beliau berkata, badan bukan Kerajaan (NGO) tertentu cuba mempolitikkan isu tersebut demi memburukkan imej kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

HARAPAN
Abu mengaku MPPP merupakan sesuatu yang penting bagi hidupnya. Di situlah, ayahnya dan dirinya sendiri menyambung rezeki.

Saban hari, beliau mengingatkan kakitangan sokongan di bawah seliaannya bahawa semua peringkat bertanggungjawab untuk mereputasi imej MPPP dan bandar George Town di persada dunia.

"Apabila saya bersama YB Phee Boon Poh (Exco Kerajaan Negeri) ke program belajar kitar semula di peringkat antarabangsa baru-baru ini, saya selalu mengingatkan semua staf saya bahawa semua kita perlu bangga kerana MPPP dan Pulau Pulang sudah sampai ke tahap ini (antarabangsa).

"Dengan pembaharuan yang dilakukan oleh pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B Lim Guan Eng, saya di MPPP dah mungkin bersama-sama MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Prai) juga yakin kita semua mampu saling bersaing ke arah merealisasikan 'Pulau Pinang Bersih, Hijau dan Selamat'," ujar beliau. -END

Larang kakitangan kerajaan, ahli politik pohon tanah simbol integriti P.Pinang

Posted: 09 Sep 2012 07:50 PM PDT


PULAU Pinang akan terus melaksanakan polisi integriti dengan melarang kakitangan kerajaan serta ahli politik kepartian dari memohon tanah milik Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini berkata, polisi sebegitu dapat memelihara budaya integriti dalam kalangan pemimpin setempat dan rakyat terbanyak di negeri berkenaan

"Yang layak pohon (tanah) hanya rakyat biasa. Dulu (semasa era Barisan Nasional memerintah Kerajaan Negeri), kalau nak dapat tanah mesti ada 'kabel-kabel kuat'.

"Kalau pegawai kerajaan atau ahli politik nak pohon tanah, mesti letak jawatan dulu dan jadi orang biasa, baru layak pohon tanah milik kerajaan," ujar beliau di Dewan Cina Kampung Permatang Tok Mahat, Jawi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tan Beng Huat, Maktar Shapee (ADUN Sungai Bakap), Mohd. Kamil Abu Bakar (Pegawai Penyeleras Kawasan DUN Sungai Acheh) dan  Mohd Fauzi Yusof (Timbalan Pesuruhjaya PAS III Pulau Pinang) turut hadir pada majlis anjuran masyarakat setempat.

Guan Eng berkata, hak rakyat di negeri berkenaan lebih terjamin apabila Kerajaan Negeri melaksanakan polisi-polisi integriti sedemikian.

"Saya percaya, Kerajaan Negeri tidak akan rugi sekiranya hak-hak rakyat terus dipelihara menerusi polisi integriti seperti ini.

"Saya percaya sebuah Kerajaan (Negeri) akan tumbang apabila hak-hak rakyat seperti tanah ada yang diberikan kepada kroni-kroni sehingga mengakibatkan rakyat tolak mereka.

"Apabila rakyat tidak reda dengan amalan kronisme, Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional yang begitu kuat dulupun tumbang dalam pilihan raya umum ke-12," tegas beliau.

Beliau berkata, beliau tidak boleh menerima keputusan Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dulu menjual 980 ekar tanah di persisiran Tanjung Tokong dengan harga RM1 sekaki persegi melalui perjanjian tebus guna pada tahun 1990 dan 1999 yang nyata menguntungkan pihak swasta sahaja.

Dalam perjanjian-perjanjian lain pada tahun 1997, 2002 dan 2003, beliau mendedahkan, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional telah memberi pemaju hak menebus guna  325 ekar tanah sebagai ganti untuk pembinaan Lebuh raya Jelutong yang dianggarkan menelan kos RM300 juta dan bayaran balik RM24.4 juta sahaja.

"Dalam erti kata lain, jumlah kos adalah RM325.4 juta untuk 325 ekar tanah. Ini bersamaan dengan RM1 juta seekar atau RM20 sekaki persegi.

"Pemaju boleh bayar RM25.4 juta dalam masa 10 tahun, dari 2005 hingga 2015...ini satu rekod tempoh pembayaran yang baru," seloroh beliau sambil mendakwa penjanjian itu kurang menguntungkan rakyat dan Kerajaan Negeri.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan pembangkang Pulau Pinang supaya berhenti dari mengkritik langkah Kerajaan Negeri menjual tanah kepada mana-mana pemaju yang menawarkan sebut harga tertingi secara tander terbuka yang nyata menguntungkan Kerajaan Negeri dan rakyat di negeri berkenaan. -END

P.Pinang usaha realisasi pilihan raya kerajaan tempatan demi rakyat

Posted: 09 Sep 2012 07:51 PM PDT

SiDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang lepas baru meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Pulau Pinang dan Seberang Prai bagi membolehkan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di negeri berkenaan.

Rang undang-undang itu dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow serta dibahaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat tanpa kehadiran ADUN pembangkang Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, rang undang-undang berkenaan adalah antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kuasa rakyat memilih pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pilihan raya kerajaan tempatan secara demokratik sebagaimana yang pernah dilaksanakan pada era 1960-an.

"Kelulusan enakmen ini akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan di negeri ini," katanya pada satu sidang media, di George Town.

Ditanya mengenai inisiatif itu yang dikatakan bertentangan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan, Kon Yeow berkata, enakmen itu sebenarnya masih membolehkan Kerajaan Negeri mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malah, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri  akan terus mencari jalan untuk bekerjasama dengan SPR serta pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Nasib Tun Razak serta kementerian berwajib bagi merealisasikan inisiatif demokratik itu.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dilaporkan berkata, inisiatif Kerajaan Negeri itu adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 15 Akta 171 (Undang-Undang Persekutuan)

Chee Heung berdalih, pendirian Kerajaan Pusat itu adalah selaras dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

"Jika mana-mana undang-undang Negeri yang tidak diselaras dengan suatu undang-undang Persekutuan, undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri adalah tidak sah setakat tidak selaras itu.

"Tindakan Kerajaan Negeri meluluskan undang-undang itu tanpa berbincang dengan Masjid Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) jelas bertentangan dengan Perkara 95A (6) Perlembagaan Persekutuan," dalih beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Nada yang sama turut dipertegas oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad dilaporkan berkata, suruhanjaya berpendirian bahawa sebarang perkara membabitkan perubahan dasar dan perundangan mengenainya tertakluk kepada persetujuan MNKT seperti diperuntukkan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan dalih itu, katanya lagi, SPR selaku badan bebas yang mengendali pilihan raya di negara ini pernah diberi kuasa untuk mengendalikan pilihan raya bagi kerajaan tempatan, iaitu mengikut Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1960.

Namun, beliau berdalih, apabila akta itu dimansuh dan dihentikan kuat kuasanya mengikut Subseksyen 15(1) Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 10 akta sama (Akta 171) pula menetapkan keanggotaan sesuatu majlis PBT dibuat secara pelantikan oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Oleh itu, berpandukan akta baru ini, SPR tidak boleh mengendalikan sebarang pilihan raya kerajaan tempatan kerana ketiadaan peruntukan yang memberi kuasa kepada suruhanjaya ini berbuat demikian mengikut undang-udang persekutuan (berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan)," katanya dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan bahawa inisiatif demokratik yang mahu direalisasikan oleh Kerajaan Negeri demi rakyat di negeri berkenaan seakan cuba dihalang oleh kerajaan pusat dan SPR sendiri. -END

No comments:

Post a Comment