Liang Lahad....

Liang Lahad....


"PETANDA BN SABAH BAKAL GULUNG TIKAR" - ANWAR

Posted: 16 Sep 2012 10:42 AM PDT

Nampaknya Sabah kini bukan lagi seperti Sabah yang dahulu...
Sabah kini bukan lagi merupakan deposit tetap BN setiap kali pilihanraya diadakan...

Dengan seorang demi seorang pemimpin Sabah keluar BN dan menyertai perjuangan Pakatan Rakyat,Sabah bukan lagi kerusi selamat buat BN...

Malah, dikatakan Sabah dan Sarawak adalah merupakan faktor penting kepada tumbangnya BN pada pilihanraya ke 13 nanti...


Pemimpin keluar Umno petanda BN Sabah 'gulung tikar' – Anwar

TUARAN 16 Sept: Tindakan beberapa pemimpin terkenal keluar dari Umno BN Sabah petanda rakyat Sabah mahukan perubahan dan menamatkan kesengsaraan di bawah regim parti itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap sempena sambutan Hari Malaysia ke-49 malam semalam, beliau yakin rakyat Sabah sudah bersedia untuk menolak Umno BN pada pilihan raya akan datang.

"Saya ingat lepas ini, Umno boleh gulung tikar," kata Ketua Pembangkang itu sambil disambut tepukan hadirin pada sambutan Hari Malaysia  di Restoran Singgah Singgarung di sini.

Namun, kata Anwar, rakyat Sabah harus berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan dakyah Umno BN yang menggunakan agama untuk memecah belah perpaduan bagi menyekat arus perubahan.

"Tapi kita kena ingat, niat kita mesti ikhlas untuk melakukan membuat sesuatu yang baik dan sentiasa menjaga hubungan baik antara agama.

"Umno BN sengaja mempermainkan agama untuk menanam prasangka antara orang Islam, kristian dan agama lain supaya membenci antara satu lain untuk meneruskan kekuasaan mereka.

"Oleh itu, tingkat kefahaman dan saling menghormati antara kita agar tidak tewas dengan agenda pecah belah Umno BN," katanya.

Hadir sama, Presiden PAS, Haji Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pimpinan Pakatan Rakyat lain.

Terdahulu, Anwar Ibrahim mengisytihar bekas menteri dan Naib Presiden Perkasa, Datuk Yahya Lampong keluar Umno di Restoran Singgah Singgarung, Tuaran, Sabah.

Kurang 24 jam sebelum itu, bekas Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin dalam satu program di Labuan, mengisytihar keluar Umno dan menyertai KEADILAN.

Ia menjadikan sekurang-kurangnya empat pemimpin terkenal Sabah meninggalkan BN dalam tempoh sebulan termasuk Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing.

ISU LANGAT 2 - BN MAHU BELANJA RM12 BILION vs PR HANYA MAHU BAIK PULIH RM225 JUTA

Posted: 15 Sep 2012 11:45 PM PDT

Sebab-sebab mengapa Kerajaan Selangor tidak mahu mengikut rancangan BN untuk membina Langat 2 adalah kerana Langat 2 sebenarnya tidak perlu...

PR tidak mahu melaksanakan projek yang bernilai RM12 bilion sedangkan yang diperlukan sebenarnya hanyalah baik pulih sistem rawatan air yang ada yang hanya memakan belanja RM225 juta...

RM12 bilion vs RM225 juta...

sangat besar bezanya di mata rakyat...

Ikuti penjelasan mengenai perkara ini....

Langat 2, Biadab TIdak Hormat Hak Negeri

Tindakan kerajaan Pusat hendak membina loji  Rawatan Air Langat 2 adalah tindakan biadab yang tidak menghormati hak negeri yang jelas terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.   Tanah, air, hasil hutan, adalah hak negeri, ini satu pencerobohan.

Kenapa projek ini hendak diteruskan juga?
Bukankah kerajaan Selangor sudah membuktikan dengan fakta, Selangor sudah cukup air melalui kajian pasukan khas yang terdiri daripada pakar.

Masalah yang berlaku ialah kegagalan Syabas merawat air dan mengurangkan masalah kebocoran  'non revenue water'  daripada 30 peratus kepada 15 peratus sehingga tidak sampai kepada pengguna.

Kerajaan Selangor yang pro rakyat tidak mahu membazir wang rakyat sebanyak RM12 bilion untuk Langat 2, sedangkan jika masalah ini diselesaikan dengan baik hanya memerlukan RM225 juta sahaja dengan membaik pulih pasarana yang sedia ada.

Sebelum ini pun pemimpin Kerajaan BN yang tidak boleh menerima kekalahan di peringkat negeri telah menubuhkan pejabat Persekutuan untuk memastikan jerong-jerong BN tidak kelaparan di negeri Pakatan Rakyat.

Ini semua membazir jutaan ringgit setiap bulan semata-mata untuk memenuhi nafsu serakah mereka. Semua maklum bagaimana kerajaan pusat mengarahkan agensi pusat jangan bagi kerjasama dengan kerajaan PR. Royalti di Kelantan  dirompak.

Pembinaan Loji Langat 2 satu perkara yang tidak boleh diterima oleh kerajaan yang bertamaddun tanpa restu daripada kerajaan negeri.  Ini adalah undang-undang rimba.

Perbadanan Aset Air Berhad telah menjual 15 naskhah dokumen tender dengan harga RM10,000 satu, walaupun tanpa restu kerajaan negeri. Jika berlaku masalah nanti ketika hendak masuk ke tapak projek yang dikuasai oleh pihak berkuasa negeri maka mereka akan menuduh kerajaan negeri kianat kepada rakyat. Pada hal kerajaan pusat yang ceroboh hak negeri.

Pemimpin BN jangan marah kalau rakyat melanggar undang-undang kerana gurunya ialah Umno. Umno belajarlah jadi orang kalah, hormatlah undang-undang.


Ustaz Idris Ahmad

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

PERUTUSAN KHAS OLEH YB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2012

Posted: 15 Sep 2012 09:45 PM PDT

PERUTUSAN KHAS OLEH YB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2012

16 September 1963 merupakan tarikh keramat yang menyaksikan Sabah dan Sarawak beserta Persekutuan Tanah Melayu -- yang merdeka sebelumnya pada 31 Ogos 1957 -- membentuk sebuah negara bernama Malaysia. Bertitiktolak dari situ, semangat Federalisme yang dipersetujui bersama sewajarnya menjadi semakin utuh, kuat dan terus dihormati. 

Ini juga kesempatan untuk kita menyingkap lembaran sejarah, melakar dengan tinta emas pengorbanan para pejuang terdahulu sehingga pembentukan Malaysia. Kita bersyukur kerana berjaya mengekalkan keamanan dan bermulanya asas pembangunan negara. 

Namun yang dimusykilkan adalah bentuk kecuaian malah penyelewengan dari semangat kelahiran negara yang menjanjikan kesaksamaan dan keadilan. 
 
Masih ramai rakyat di Sabah dan Sarawak terpinggir daripada arus pembangunan negara. Rakyat Sabah, misalnya, dinafikan akses kepada fasiliti dan infrastruktur asas walaupun hampir setengah abad mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963.

Justeru, KEADILAN dan Pakatan Rakyat tuntas untuk memastikan keadilan dilaksanakan di setiap negeri dan sejajar dengan semangat Federalisme akan menjamin agihan ekonomi yang lebih adil dan seimbang.

Kini sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah untuk bangkit dan melakukan perubahan. Bersama kita jayakan hasrat murni untuk melahirkan sebuah kerajaan yang adil dan saksama demi kebaikan rakyat seluruhnya.

Selamat Hari Malaysia!

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Post a Comment