Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Tiga Lot Tanah Rezab Melayu Di Cherating, Tiba-Tiba Bertukar Tangan Kepada Bukan Melayu

Posted: 27 Jul 2012 07:56 AM PDT

KUANTAN, 27 Julai - Seorang ahli perniagaan terkejut apabila tiga Lot Tanah Rezab Melayu berhadapan dengan tanah yang beliau beli telah bertukar tangan kepada orang bukan Melayu di pantai Cherating. Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau membeli tanah yang berhadapan dengan pantai menghala ke Laut China Selatan pada tahun 1990. Namun, tujuh tahun kemudian beliau mendapati tiga lot tanah pantai di depan tanahnya itu telah bertukar tangan kepada pihak lain. "Saya terkejut kerana ia sepatutnya rezab pantai di depan tanah saya itu tetapi telah bertukar milik kepada pihak tertentu. "Padahal semua tanah di kawasan ini adalah tanah rezab Melayu," kata sumber itu. Tiga lot tanah yang berubah pemilik itu adalah lot 5233, 7058 dan 7059."Salah satu darinya betul-betul di depan Cherating Holiday Villa," katanya lagi. Menurutnya, tanah itu bertukar tangan menjadi milik bukan Melayu atas kerja pihak tertentu dalam parti kerajaan. Bagi mempastikan maklumat ini sahih, beliau meminta pihak PAS dan yang berkepentingan membuat siasatan dan mengenalpasti bagaimana perkara ini boleh berlaku sebenarnya. Sumber

Kedudukan lot-lot 5233,7058 dan 7059 di Pantai Cherating yang kini sudah
bertukar tangan kepada bukan Melayu gara-gara angkara pemimpin Melayu


[Apa yang berlaku ini sebenarnya tidaklah pelik bagi rakyat Pahang kerana memang inilah kerja-kerja terkutuk yang gemar dilakukan oleh pemimpin UMNO untuk mendapat habuan tertentu sejak sekian lama. Tanah Rezab Melayu Transit Kuarters ditengah bandar Kuantan yang sepatutnya dipertahankan itu pun kini sudah terjual ke tangan bukan Melayu. Tambah menyedihkan kebanyakkan tanah tersebut dijual kepada bukan Melayu dari negara jiran Singapura. UMNO sepatutnya membela tanah rezab Melayu tetapi merekalah yang beriya-iya mahu mendapat untung dengan menguruskan penjualan tanah-tanah berkenaan. Tambah menyedihkan perkara ini disedari oleh pemimpin UMNO, namun mereka hanya diamkan diri demi menjaga kepentingan politik masing-masing. Akhirnya, jika dibiarkan lama-lama negeri ini juga akan terus tergadai ke tangan asing. Inilah dia senario yang seringkali berlaku jika rakyat Pahang masih tidak mahu melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang].


Panas: 'Dua Ahli Parlimen BN' Menjemput Anwar Ibrahim Rasmikan Gerakan Baru Rakyat Sabah !!

Posted: 27 Jul 2012 03:34 AM PDT

KOTA KINABALU, 27 Julai - Petanda awal kejatuhan UMNO Barisan Nasional di Sabah kini semakin menjadi kenyataan apabila sebuah gerakan politik baru yang pro Pakatan Rakyat bakal dilancarkan di negeri itu dalam masa terdekat ini. Tambah mengejutkan, pergerakan tersebut dikenali dengan nama Angkatan Perubahan Sabah (Sabah Reform Front - SRF) itu bakal dilancarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jemputan dua orang Ahli Parlimen BN sendiri iaitu Datuk Seri Lajim Ukin (Beaufort) dan Datuk Seri Wilfred Bumburing (Tuaran). Perkara itu disahkan oleh Ketua perhubungan PKR Sabah Ahmad Tamrin Jaini hari ini. Anwar diberi penghormatan untuk melancarkan pergerakan tersebut setelah menerima jemputan rasmi daripada kedua-dua Ahli Parlimen BN terbabit. Senario ini merupakan satu tamparan hebat buat BN untuk mengekalkan majoriti kerusi parlimen pada pilihanraya umum akan datang pastinya. Desas-desus yang mengatakan dua pemimpin terbabit akan meninggalkan BN telah tersebar luas mutakhir ini. Malah, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menuntut supaya Datuk Lajim Ukin meletakkan jawatannya daripada kabinet sekiranya benar-benar ingin keluar daripada parti (UMNO). Kenyataannya itu timbul ekoran tindakan Lajim meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Cawangan Kerambai Kebatu selepas beliau menyatakan hasratnya untuk tidak lagi mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort. Lajim juga awal minggu ini telah mengadakan satu pertemuan dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu. Lajim sekarang masih lagi merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kabinet Najib. Apa yang pasti sudah tentu berita ini menggegarkan UMNO Sabah dan BN secara keseluruhannya. Jika terbukti kedua-dua pemimpin terbabit akan tinggalkan BN, maka sudah pasti Najib akan menghadapi laluan cukup sukar untuk mengekalkan Putrajaya.


Mahkamah: Lynas Tarik Semula Saman Terhadap Free Malaysia Today Selepas Mereka Mohon Maaf

Posted: 27 Jul 2012 03:03 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd hari ini menarik balik saman selepas pengendali portal berita 'Free Malaysia Today (FMT)', MToday News memohon maaf kepada Lynas atas penyiaran artikel memfitnah yang disiarkan dalam lamanwebnya. Penyelesaian saman itu direkod di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin. Peguam MToday Rueben Mathiavaranam memberitahu pemberita bahawa sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian, Lynas menarik balik saman dan defendan berjanji tidak akan menyiarkan lagi sebarang kenyataan anti Lynas. "Mahkamah juga membuat keputusan itu tanpa perintah untuk membayar kos, tiada bayaran kerosakan dan tiga artikel terlibat perlu dikeluarkan dari (lamanweb) FMT," katanya. Pada 17 Julai, MToday menyiarkan permohonan maaf di laman webnya www.freemalaysiatoday.com atas penyiaran tiga artikel yang yang mendakwa Loji Lynas mungkin tidak selamat untuk orang ramai. "Kami meminta maaf atas penyiaran itu memandangkan dakwaan semumpama itu tidak mempunyai asas saintifik," kata kenyataan permohonan maaf itu. Pada 19 April lepas, Lynas Corporation of Sydney, Australia dan Lynas Malaysia memfailkan saman terhadap MToday News, kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam laman webnya pada 6 Mac lalu. Dalam saman itu, Lynas memohon gantirugi am dan ganti rugi teruk, kos dan injunksi bagi menghalang Mtoday News daripada terus terbitkan artikel memfitnah mengenai Lynas. Peguam Rishwant Singh wakili syarikat itu.


Mahkamah: Hakim Menolak Permohonan Utusan Untuk Batal Saman Yang Di Fail Dr.Syed Husin Ali

Posted: 27 Jul 2012 02:43 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak untuk membatalkan saman fitnah berjumlah RM10 juta yang difailkan Senator Dr Syed Husin Ali (foto). Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan supaya kes itu dibicarakan selama dua hari bermula 29 Ogos. Beliau membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam N Surendran yang mewakili Syed Husin, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Utusan Melayu dan Abdul Aziz serta peguam Farah Mazlan mewakili anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin. Pada Mei lepas, Zulkifli turut membuat permohonan yang sama (batalkan saman) tetapi menarik balik hari ini. Surendran memberitahu pemberita bahawa Vazeer juga membuat keputusan membenarkan Syed Husin meminda writ saman dan penyata tuntutan serta menetapkan 15 Ogos untuk pengurusan kes. Syed Husin, 76, bekas Timbalan Presiden PKR memfail saman itu pada 27 Jan lepas dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya. Dalam pernyataan tuntutan, Syed Husin mendakwa Utusan Melayu dan Abdul Aziz telah secara palsu dan dengan niat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lepas, berjudul 'Zul Noordin Nafi Dakwaan Syed Husin'. Syed Husin berkata Zulkifli, dalam laman web peribadinya, menerbitkan semula artikel yang sama tetapi atas tajuk yang lain iaitu 'Anjing-anjing Pencen'. Sementara itu, menerusi pernyataan pembelaan Utusan dan Abdul Aziz yang difailkan pada 29 Feb lepas, kedua-duanya menafikan dakwaan Syed Husin dan mereka hanya menerbitkan semula apa yang disiarkan Zulkifli dalam blognya. Mereka mendakwa artikel itu diterbitkan semula dengan niat baik agar dapat beri maklumat kepada masyarakat. Zulkifli, yang memfail pernyataan pembelaan 28 Feb, berkata artikel di laman web peribadinya merupakan komen yang berpatutan dan melibatkan kepentingan awam.


Tragedi Pembunuhan 'Etnik Muslim Rohingya' Di Myanmar, Umat Islam Perlu Bangkit Membantu !!

Posted: 26 Jul 2012 10:11 PM PDT

Selama beberapa dekad, orang-orang Rohingya telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas di tangan junta tentera Myanmar (Burma). Dalam satu laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Hak Asasi Manusia Ireland (ICHR), seorang pakar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendakwa bahawa kekejaman massa yang dilakukan oleh kerajaan junta tentera terhadap minoriti Rohingya yang tinggal di daerah Barat Myammar mungkin merupakan antara jenayah terhebat terhadap kemanusiaan di abad ini. Permasalahan mereka telah telah diabaikan selama bertahun-tahun dan tiada sebarang tindakan yang sistematik telah dilakukan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan sebagai masyarakat manusia yang normal. Umat Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Burma (kini Myanmar) di Negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan, dan Bengali. Penyebaran Islam di Arakan (dan di sepanjang kawasan pantai selatan Bangladesh) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ini. Mereka terus menetap di kawasan ini untuk tempoh yang panjang, berkahwin dengan penduduk setempat dan hidup sebati dengan budaya tempatan. Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan dan selebihnya adalah penganut Buddha Arakanese.




Umat Islam Rohingya telah dinafikan daripada hak-hak asasi kemanusiaan dan sentiasa terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia secara konsisten oleh pihak juta tentera Myanmar. Di antara kekejaman yang dilakukan ke atas mereka, antaranya; Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran mahupun sijil perkahwinan mereka; Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayan Arakan; Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja tanpa gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api, dan bangunan berek tentera; Sekatan makanan sehingga mereka hidup di dalam keadaan kebuluran; Sekatan ekonomi, kemudahan kesihatan dan kemudahan asas pendidikan; Wanita-wanita dan remaja perempuan mereka dirogol secara beramai-ramai oleh tentera Myanmar; Penyembelihan secara beramai-ramai seumpama tragedi 1942 apabila lebih 100,000 orang di kalangan mereka telah dibunuh dan Pada tahun 1978, seramai 300,000 di kalangan mereka telah dihalau keluar secara massa ke Bangladesh. Kerajaan Bangladesh enggan untuk sediakan bekalan makanan dan keperluan lain sehingga ramai di kalangan mereka mati kebuluran dan akibat pelbagai penyakit.


Pada tahun 1991, tentera Burma sekali lagi telah melakukan operasi pembersihan apabila 268,000 ribu di kalangan mereka terpaksa melarikan diri kerana Myanmar ternyata tidak lagi selamat untuk mereka. Selepas bertahun-tahun melalui siri penderitaan yang panjang dan besar, mereka mula mengambil bot-bot kecil ke laut terbuka dengan harapan untuk mendarat di suatu tempat sebagai pelarian politik, ekonomi dan agama. Ada di kalangan mereka yang mendarat di Thailand, Malaysia, Indonesia dan sebahagiannya di Australia. Namun kebanyakan mereka telah ditolak mentah-mentah oleh semua negara ini. Bahkan ramai di kalangan 'orang bot' yang mendarat di Thailand telah dihalau semula ke laut dalam bersama sampan mereka yang telah dicabut enjinnya agar mereka terus hanyut terkapai-kapai tanpa hala tuju. Sebahagian daripada mereka terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ribuan di kalangan mereka yang telah mati lemas atau kebuluran di tengah laut. Tiada siapa yang mahukan mereka! Bahkan negara-negara yang mendakwa mewakili umat Islam juga tidak mahu mereka, sekali gus membuktikan bahawa seolah-olah umat ini "tidak ada harga" kepada mereka. Umat Islam Rohingya telah memohon diberikan status "Pelarian Sementara" Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga negara-negara lain bersetuju untuk mengambil mereka. Indonesia dikatakan akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk tinggal di Acheh buat sementara.


[Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun mendarat di Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan kemanusiaan daripada saudara seaqidah mereka. Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya". Dari Nu'man bin Basyir r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam", Hadis riwayat Muslim].


Video: Penindasan Muslim Rohingya Di Myanmar!

Posted: 26 Jul 2012 07:25 PM PDT


Panas: Kerajaan Negeri Pahang Di Gesa Wartakan Segera Jalan Sungai Koyan - Cameron Highlands !!

Posted: 26 Jul 2012 07:00 PM PDT

KUALA LIPIS, 27 Julai - Orang ramai yang melalui jalan alternatif untuk menuju ke kawasan peranginan Cameron Highlands melalui jalan Felda Sg.Koyan dekat sini gusar kerana selepas dua tahun jalan itu dibuka dan dilalui oleh kenderaan tetapi ia masih belum lagi diwartakan sehingga ke hari ini. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto), pada 2009 pernah berkata, apabila siap, jalan sepanjang 79.1 kilometer bernilai RM806 juta itu akan menjadi laluan masuk utama negeri ini ke Cameron Highlands. Rakyat negeri ini tidak lagi perlu melalui Tapah, Perak atau Gua Musang, Kelantan untuk ke Cameron Highlands apabila projek pembinaan jalan itu siap sepenuhnya pada Mac 2010 lalu. Menurut Adnan ketika itu, jalan Sungai Koyan-Cameron Hihglands yang dibina menerusi empat pakej itu dapat memendekkan perjalanan sejauh 80 kilometer dari Kuantan ke Tanah Rata. Selepas kajian disiapkan pada 1996, beliau memberitahu, pembinaan pakej pertama jalan itu dimulakan pada 1999 dari Sungai Koyan ke Pos Betau sepanjang 19 kilometer membabitkan perbelanjaan RM52 juta dan siap pada 2002. Pakej kedua melibatkan pembinaan jalan sepanjang 22 kilometer bermula dari Pos Betau ke Bukit Petubung dimulakan pada 2002 dan siap pada 2005 dengan kos pembinaan RM151 juta. Sementara itu pakej ketiga dari Bukit Tetubung ke Sungai Susu menelan belanja RM232 juta melibatkan laluan 19.5 kilometer dan kos pembinaan jalan ini agak tinggi kerana membabitkan 10 buah jambatan. Manakala pakej terakhir ialah dari Jalan Kampung Susu ke Ringlet sepanjang 18.6 kilometer dimulakan pada 2005 membabitkan kos sebanyak RM173 juta.



Pembinaan jalan itu dikatakan bakal menjana serta memberi peluang ekonomi kepada penduduk yang tinggal di sepanjang laluan terutama kepada masyarakat Orang Asli dalam Parlimen Cameron Highlands. Persoalannya sekarang, selepas lebih dua tahun jalan tersebut siap dan dilalui oleh ribuan kenderaan anehnya sehingga ke hari ini ia masih belum diwartakan. Akibatnya banyak kenderaan yang mengalami kemalangan ketika melalui jalan terbabit kini tidak dilindungi polisi insurans. Mereka mengalami kesukaran untuk menuntutnya dan terpaksa memperbaiki kenderaan masing-masing menggunakan duit sendiri. Ia tidak menjadi masalah kepada kemalangan ringan, namun difahamkan sudah ada beberapa kemalangan maut di kawasan terbabit sebenarnya. Cuma, ia tidak dihebahkan oleh media kerana jalan berkenaan tidak diwartakan dan menjadi kesalahan kepada kerajaan membuka jalan tersebut kepada orang ramai sebenarnya.


Laluan jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands yang sunyi dan agak lengang

Soalnya sekarang, kenapa Kerajaan Negeri Pahang tidak mengambil berat hal ini dan membiarkan rakyat menanggung risiko melalui jalan tersebut?. Wajarkah sebuah jalan yang sudah begitu lama disiapkan tidak diwartakan?. Bagaimana dengan nasib mereka yang melalui jalan itu nanti. Nyawa mereka dalam risiko dan sudah semestinya ia akan mengundang masalah yang lebih besar sebenarnya. Sikap "acuh tak acuh" kerajaan ini amatlah dikesali dan tidak sepatutnya berlaku. Jika benar jalan itu bermasalah, kenapa ia perlu dibuka kepada orang ramai untuk melaluinya?. Lebih baik ia ditutup sehingga kerja-kerja berkaitan diselesaikan terlebih dahulu. Memang benar ada sesetengah lokasi, berlaku tanah runtuh dan lain-lain masalah. Namun, ia perkara biasa dan berlaku di banyak jalan utama yang lain sebenarnya. Justeru, kenapa perlu dibiarkan dan tidak diwartakan sehingga sekarang?. Sanggup kerajaan biarkan nyawa terkorban "mati katak" begitu sahaja tanpa pembelaan?.


Sebahgian jalan tersebut ada tanah runtuh serta bahayakan orang ramai

Kemalangan sering berlaku dan nyawa mangsa terkorban tanpa pembelaan

[Rakyat Pahang perlukan sokongan daripada Kerajaan Negeri dalam hal ini. Jika tidak sampai bila-bila pun jalan berkenaan tidak akan diwartakan agaknya. Tidak diketahui kenapakah isu ini tidak dibawa oleh wakil rakyat kawasan terbabit ke Parlimen atau Dewan Undang Negeri Pahang selama ini. Apakah semua wakil rakyat dan pemimpin masyarakat rela melihat nyawa rakyat terus melayang tanpa pembelaan seperti apa yang berlaku selama ini. Justeru, sudah tiba masanya untuk rakyat mendesak kerajaan agar mendahulukan nasib mereka dari segalanya. Tidak perlu hanya pandai berjanji tetapi ia gagal untuk ditepati. Memang benar, warta atau tidak pasti akan ada rakyat yang melalui jalan tersebut terutamanya mereka yang mahu cepat sampai ke Cameron Highlands dan tidak mahu melalui kesesakan jalan ke Lembah Kelang dan seterusnya ke Lebuh Raya PLUS untuk sampai ke Tapah untuk ke lokasi berkenaan. Namun, adalah lebih elok jalan tersebut diwartakan demi keselamatan rakyat dan pengguna jalanraya yang melaluinya. Kenapa perlu menunggu lama, kerana ini bukannya projek bangunan yang memerlukan sijil menduduki (CF) untuk digunakan. Ini adalah jalanraya dan jika kerajaan belum bersedia, lebih baik jalan tersebut ditutup sehinggalah ia diwartakan kelak].


No comments:

Post a Comment