Liang Lahad....

Liang Lahad....


GERAN SELANGORKU - SELANGOR MENJAWAB DAN MINTA MD ZAIN PULA MENJAWAB HASIL PERUNTUKAN RM2.71 BILION

Posted: 27 Jun 2012 09:29 AM PDT

Apabila Kerajaan Negeri Selangor membentangkan peruntukan Geran Selangorku sebanyak RM300 juta untuk pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang dan menurap jalan..
UMNO mula berasa bimbang...

Ini kerana UMNO sentiasa cuba menghadkan peruntukan kepada Kerajaan Negeri bagi menggagalkan pembangunan yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan negeri..

Jadi bila Kerajaan Negeri boleh menyediakan peruntukan RM300 juta melalui hasil negeri tanpa melibatkan Kerajaan
Pusat, UMNO Selangor mula berasa "tidak selesa" dan mereka mulalah memainkan pelbagai persoalan mengenai punca "dana Geran Selangorku"..

Melalui Setiausaha Politik MB...
Selangor memberikan penjelasan...

GERAN SELANGORKU DIURUS SECARA TELUS

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah berselindung tentang punca dana Geran Selangorku berjumlah RM300 juta  yang diperuntukkan untuk dimanfaatkan terus kepada rakyat melalui rancangan pembangunan dan sahsiah diri.

Sejak dari awal pengumuman Geran Selangorku yakni ketika membentangkan Belanjawan 2012 tahun lepas, Menteri Besar telah menyatakan dengan jelas bahawa geran ini berasaskan sumbangan GLC negeri serta keuntungan operasi MBI yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk daripada syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula Canal City.

Jika dahulu keuntungan hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta para kroni Barisan Nasional, kali ini habuan kita agihkan terus kepada semua rakyat Selangor.

Menteri Besar telah pun menerangkan secara terperinci mengenai perkara ini di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada November 2011. 

Malah,  Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) juga telah mengadakan pameran di lobi DNS kerana masih ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kurang faham proses pengambilalihan hutang TALAM dan penstrukturan Canal City.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed mungkin gagal mendapat maklumat mengenai Geran Selangorku kerana sebahagian besar ADUN BN tidak hadir ketika penjelasan yang dibuat oleh Menteri Besar berasa malu untuk menjenguk ke pameran yang diadakan.

Perlu dinyatakan sekali lagi di sini bahawa Geran Selangorku diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. 

Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Jurutera dan Jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang di lantik oleh Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh ADUN, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dakwaan Mohd Zin bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar. 

Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah.

Dasar Kerajaan Negeri berbeza dengan Kerajaan Pusat yang mencipta hutang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat. 

Walaupun kita telah mengagihkan lebih RM700 juta kepada rakyat menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), simpanan rezab kita meningkat kepada RM1.9 billion.

Menerusi Geran Selangorku, kita telah meluluskan sebanyak 362 projek yang berupa pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh Selangor termasuk di kawasan DUN BN. 

Kita mempunyai maklumat terperinci mengenai projek-projek ini dan telah pun memberi laporan perkembangan kepada media.

Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku ini dilaksanakan terbuka untuk semakan di Pejabat MBI. 

Md Zin atau mana-mana ahli UMNO yang masih gagal memahaminya boleh melakukan lawatan ke MBI dan penerangan khusus boleh disediakan. 

Pada masa yang sama, kalau benar ketelusan yang mahu diutamakan saya mencabar Ahli Parlimen dan ADUN BN untuk mendedahkan butiran perbelanjaan peruntukan sejumlah RM2.71 billion yang peruntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada UMNO Selangor yang mana peruntukan tersebut tidak melibatkan Kerajaan Negeri. 

Rakyat Selangor mahu tahu bagaimana wang sebesar itu dibelanjakan, apa projeknya, dimana dan berapa kos sebenar.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KPD DATO MENTERI BESAR

LRT AMPANG - PKR DEDAHKAN DOKUMEN CAMPURTANGAN NAJIB DALAM KONTRAK RM1 BILION

Posted: 27 Jun 2012 02:27 AM PDT

CAMPUR TANGAN DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK BERTENTANGAN DENGAN KEPUTUSAN AWAL JAWATANKUASA PEROLEHAN MENTERI KEWANGAN 

Walaupun KEADILAN telah memaklumkan bahawa pendedahan bersiri mengenai anugerah kontrak bernilai RM1 bilion projek sambungan LRT Ampang akan membuktikan campur tangan terus Dato' Seri Najib Tun Razak, sehingga kini beliau masih belum bersuara.

Saya percaya beliau memahami betapa besarnya kesan pendedahan ini kepada kredibiliti pentadbiran beliau. 

Desas-desus campur tangan beliau yang bertentangan dengan penilaian bidaan (bid evaluation) dan tindakan beliau menolak semua keputusan yang telah dibuat di peringkat jawatankuasa bertanggungjawab menjadi bahan bualan di kalangan mereka yang terbabit di dalam projek ini.

Ia menguatkan lagi pandangan komuniti perniagaan di dalam dan luar negara bahawa Dato' Seri Najib Tun Razak dan keluarga beliau memainkan peranan mempengaruhi pelbagai keputusan tender dan berkait rapat dengan pihak yang berkepentingan.

Dalam kes kontrak kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion, Dato' Seri Najib Tun Razak pada minggu lepas melahirkan hasrat beliau untuk
menganugerahkan kontrak tersebut kepada Konsortium George Kent, seperti yang dilaporkan oleh Business Times bertarikh 22 Jun 2012 yang lalu.

Ini bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) yang bersidang pada 25 Januari 2012. 

JPMK adalah jawatankuasa perolehan tertinggi di peringkat Kementerian Kewangan dan dipengerusikan sendiri oleh Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan.

Keputusan mesyuarat JPMK dengan rujukan T/1/M/1/2012 dengan secara jelas menolak cadangan Prasarana Negara untuk melantik PDA Consortium sebagai kontraktor projek ini (seperti yang didedahkan sebelum ini oleh KEADILAN).
 
Sebaliknya, JPMK mengarahkan supaya pakej kontrak itu dianugerahkan kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys pada harga RM1,012,910,000.

Keputusan itu ditandatangani sendiri oleh :
  1. Dato' Seri Najib Tun Razak (Menteri Kewangan), 
  2. Dato' Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan II) dan 
  3. Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) seperti yang dilampirkan bersama.
Keputusan JPMK itu kemudiannya disampaikan secara bertulis oleh Kementerian Kewangan kepada Dato' Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana melalui satu surat bertarikh 26 Januari 2012 (yang dilampirkan bersama).


 
Rentetan keputusan ini menimbulkan persoalan-persoalan berikut yang perlu dijawab segera oleh Dato' Seri Najib Tun Razak:
1.      Kenapakah Konsortium George Kent begitu yakin akan memenangi kontrak ini seperti yang dilaporkan oleh media kebelakangan ini, walaupun keputusan anugerah kontrak telah dibuat seawal 25 Januari 2012?

2.      Dato' Seri Najib Tun Razak perlu menafikan bahawa beliau menandatangani kertas keputusan JPMK jika dokumen yang saya tunjukkan hari ini adalah palsu;

3.      Dato' Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan atas faktor apakah beliau mengubah fikiran sehingga campur tangan untuk menolak keputusan awal anugerah projek yang beliau sendiri sama-sama bersetuju; dan

4.      Dato' Seri Najib Tun Razak perlu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa campur tangan beliau di dalam anugerah projek ini langsung tidak ada unsur rasuah atau penyelewengan.

KEADILAN akan terus menunggu maklum balas daripada Dato' Seri Najib Tun Razak berhubung perkara ini dan akan terus membuat pendedahan.

Pun begitu, saya yakin bahawa campur tangan Dato' Seri Najib Tun Razak sudah pun melanggar etika pentadbiran telus dan berbaur penyelewengan kuasa. 

Oleh yang demikian, KEADILAN akan membuat satu laporan polis dan laporan SPRM terhadap Dato' Seri Najib Tun Razak pada hari Jumaat 29 Jun 2012 untuk mendesak perkara ini disiasat secepat mungkin.


MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
27 JUN 2012 

No comments:

Post a Comment