Selesaikan Isu Air, Rumah Kos Rendah Dulu Sebelum Sibuk Nak Bina Lebuh Raya

 

PASIR MAS, 31 Mei – Kerajaan Pas Kelantan digesa untuk menyelesaikan dua isu utama di negeri tersebut  berkenaan sistem pembekalan air dan juga perumahan rakyat kos rendah, sebelum beria-ria mahu membina lebuhraya Kota Bahru-Kuala Kerai yang dikatakan menelan belanja sebanyak RM 1.8 billion itu.
 
Menurut Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat, dua isu ini sepatutnya menjadi tumpuan utama kerajaan Pas Kelantan untuk diselesaikan, kerana ia merupakan isu yang melibatkan kepentingan dan kemudahan rakyat secara keseluruhannya di negeri tersebut dan merupakan perkara yang paling asas dalam kehidupan.
 
"Kerajaan Pas sepatutnya mengutamakan terlebih dulu projek untuk menaiktarafkan sistem bekalan air yang sudah sekian lama menjadi beban kepada rakyat. Masalah air yang kotor, karat dan kekuningan, begitu juga dengan isu kekurangan air terutama di musim cuti sekolah, apabila ramai rakyat Kelantan yang tinggal di luar pulang ke kampung masing-masing, ianya sudah lama ditanggung oleh rakyat Kelantan.
"Setiap kali musim cuti sekolah, penduduk Kelantan akan mengalami masalah kekurangan air. Saya sendiri sudah tiga hari terpaksa menggunakan air telaga kerana air tidak ada. Isu ini bukan baru dan rakyat sudah terlalu lama bersabar dengan isu air yang sejak sekian lama berlarutan tanpa sebarang penyelesaian," katanya kepada UMNO Online di sini hari ini.
 
Begitu juga dengan isu perumahan kos rendah, kata beliau lagi kerajaan Pas Kelantan sepatutnya melihat dengan lebih serius isu ini kerana ramai di antara rakyat Kelantan yang tidak memiliki rumah sendiri.
"Saya sendiri banyak menerima borang permohonan dari rakyat untuk rumah-rumah kos rendah. Tetapi malangnya, kita tidak dapat nak bantu kerana kerajaan Pas Kelantan sendiri tidak bina rumah-rumah kos rendah untuk rakyat di negeri ini. Macam mana kita bantu rakyat di sini apabila kerajaan sendiri tidak ambil peduli tentang hal itu," ujarnya.
 
Demi politik semata-mata
 
Sementara itu, beliau berpendapat bahawa usaha kerajaan Pas Kelantan yang mahu membina lebuhraya yang bernilai RM 1.8 billion dengan hasil derma rakyat Kelantan adalah satu perkara yang amat melucukan.
"Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Sebuah kerajaan yang sudah memerintah lebih 22 tahun, tiba-tiba minta derma kepada rakyat untuk bina lebuh raya. Macam mana cerita? Apa yang saya bimbang, projek lebuhraya ini hanyalah satu alasan untuk mengaut keuntungan yang lebih besar di sebalik itu, iaitu projek pembalakan yang pastinya akan berlaku apabila pembinaan lebuh raya ini bermula," jelasnya.
Kebimbangan yang beliau luah itu berasas kerana menurutnya, jajaran lebuh raya itu akan menempuh kawasan hutan simpan dan ini bermakna, kawasan hutan simpan tersebut akan digondolkan bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya tersebut.
"Ini berdasarkan pengalaman lalu ketika di lewat tahun 90-an di mana ketika itu, kerajaan Pas Kelantan membuat tawaran kepada rakyat untuk pajakan lombong emas yang juga melibatkan kawasan hutan balak.
 
"Namun, segala projek tentang lombong emas itu akhirnya tak jadi, tetapi balak-balak yang ada di kawasan hutan simpan tersebut habis semua ditarahnya. Saya bimbang, projek lebuh raya ini juga akan berakhir begitu. Lebuh raya tak jadi buat, tetapi hutan-hutan simpan yang penuh dengan kayu balak habis digondolkan dan pastinya ada individu-individu tertentu yang  mengaut untung dari situ," ujarnya lagi.
 
Banyak projek yang gagal!
 
Beliau tidak hairan sekiranya projek lebuh raya Kerajaan Pas Kelantan ini akan senyap begitu saja tanpa sebarang berita, kerana sebelum ini sudah enam projek besar yang diwar-warkan oleh kerajaan Pas Kelantan, namun semuanya menemui kegagalan dalam perlaksanaanya.
  1. Projek Koridor Depu – Gagal dilaksanakan
  2. Projek Pelihara Kambing Jamnapari – Gagal dilaksanakan
  3. Projek Jambatan Kota Bahru Ke Palekbang – Gagal dilaksanakan
  4. Bandar Baru Pengkalan Kubur – Gagal dilaksanakan
  5. Projek Pelabuhan Darat di Kuala Krai – Gagal dilaksanakan
  6. Stadium – Gagal dilaksanakan
"Sebab itu saya sikitpun tidak merasa hairan sekiranya projek lebuh raya ini, yang merupakan projek ke tujuh yang dicanangkan oleh kerajaan Pas Kelantan juga menemui kegagalan nanti. Ini memandangkan sebelum ini sudah enam projek yang mereka beritahu pada rakyat Kelantan untuk dilaksanakan, namun semuanya gagal belaka, " akhiri beliau

No comments:

Post a Comment