PAS beri tempoh 24 jam NST mohon maaf isu ‘Bapa Kafir’

KUALA LUMPUR, 14 Mei — PAS hari ini memberi tempoh 24 jam kepada Kumpulan New Straits Times Press Berhad (NSTP) untuk mengemukakan permohonan maaf berhubung penyiaran artikel yang mengatakan Mursyidul Am parti Islam itu sebagai "Bapa Kafir".
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, (DPPM)  Nasruddin Hassan Tantawi (gambar) menegaskan, jika konglomerat media itu tidak mengambil sebarang tindakan, PAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan dan mengadakan demonstrasi bantahan besar-besaran terhadap syarikat tersebut di seluruh negara.
 
"Kita beri tempoh 24 jam untuk NSTP mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik penyiaran artikel fitnah "Nik Aziz Bapa Kafir".
"Jika tiada sebarang tindakan, PAS akan mengambil tindakan undang-undang dan juga akan menggerakkan ahlinya untuk mengadakan bantahan besar-besaran terhadap syarikat tersebut di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada NSTP di pejabat syarikat tersebut di sini hari ini.
 
Tambah Nasruddin, tindakan penyiaran artikel tersebut jelas menunjukkan syarikat akhbar berkenaan berniat jahat terhadap Datuk Nik Aziz Nik Mat.
"Artikel itu jelas menunjukkan fitnah dan tuduhan melampau, beliau (Nik Aziz) adalah ulama yang sederhana pada kehidupan dan kepimpinan. Apabila beliau dituduh dan difitnah, ia biadap dan keterlaluan.
 
"Kita telah mendapat penafian daripada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor membuat kenyataan tersebut dan juga wartawan NSTP. Jadi sudah editor bertanggungjawab kerana menyiarkan artikel tersebut," katanya lagi.
Jelas Nasruddin, media perlu berpegang kepada etika kewartawanan, dan tidak semata-mata mencari publisiti demi ranking.
"Dengan mengejar populariti dan ranking,  maka mereka sanggup keluarkan artikel fitnah dan provokasi.
"Saya bukan hanya mengingatkan media milik Umno, tetapi juga milik parti (PAS) sendiri. Media berperanan menjaga etika kewartawanan mereka," tambahnya.
 
Memorandum tersebut telah diterima oleh Pengarah Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi sebagai wakil daripada Ketua Editor NSTP, Abdul Jalil Hamid.
 
Sewaktu penyerahan tersebut, Nasruddin turut diiringi 10 ahli DPPM.

No comments:

Post a Comment